Pinata Party KL di Sinar Harian – Pinata Unik dan Cantik
On 13 January 2016, Pinata Party KL and Diyana Yang was featured in Sinar Harian daily under the BISNES – Konsumer Trendy section. Thanks Sinar Harian!
Pada 13 Januari 2016, berita mengenai Pinata Party KL dan Diyana Yang telah dipaparkan di dalam kolum BISNES – Konsumer Trendy , akhbar Sinar Harian. Thanks Sinar Harian!
Petikan dari artikel Sinar Harian adalah seperti dibawah..
Pinata unik, cantik jadi TREND
PINATA adalah sejenis permainan yang berasal dari Mexico dan kini menjadi kegilaan masyarakat tempatan.
Pinata merupakan boneka pelbagai bentuk yang diperbuat daripada kertas mache. Ia diisi dengan gula-gula, permainan atau sebarang hadiah istimewa sebelum diketuk sehingga pecah dan melimpahkan hadiah di dalamnya.
Pinata sering dimainkan pada hari istimewa terutamanya majlis hari jadi, sambutan ulang tahun dan majlis perkahwinan.
Pegawai farmasi, Sharifah Norfaslina Syed Md Kamal berkata, dia meminati pinata buatan tangan sejak tahun lalu berikutan unik dan cantik untuk sambutan hari lahir.
“Sebelum ini, saya menempah pinata dari kedai parti di sekitar Lembah Klang dan ia tidak memuaskan hati. Kini saya menempah di Pinata Solutions antaranya Giant Surprise Egg.
“Pinata yang bersaiz besar boleh diisi gula-gula dan mainan terutamanya kepada kanak-kanak. Ia juga dijadikan sebagai alat hiburan kepada kanak-kanak yang gemarkan pelbagai jenis bentuk dan warna,” katanya.
Tambahnya, dia mengenali pinata ketika berada di United Kingdom beberapa tahun lalu dan cuba mencari pereka pinata buatan tempatan yang memenuhi impiannya.
“Saya memilih Pinata Party KL ( Pinata Solutions) kerana rekaannya unik, teliti dan sangat menjaga kualiti berbanding beli di kedai lain yang diimport dari negara luar,” katanya.
Sementara itu, pemilik Restoran Panchos Mexican, Jennifer Wong berkata, pinata berbentuk Giant Donkey digunakan sebagai simbolik restorannya.
“Saya meletakkan Giant Donkey Pinata di hadapan kedai. Saya tidak menyangka pinata ini disukai pelanggan dan kebanyakan mereka akan mengambil gambar,” katanya.
Jennifer mengetahui pinata tempatan ini melalui carian google dan media sosial.
Penjawat awam, Siti Najwanis Zainun berkata, dia sering melihat pinata melalui internet dan YouTube.
“Saya mencari pinata buatan tangan dan tempatan. Ia dihadiahkan rakan dan mendorong saya untuk menempahnya. Sebelum ini, saya beli pinata di kedai parti.
“Sejak kebelakangan ini, ia menjadi trend kerana kebanyakan ibu bapa menggunakan pelbagai bentuk pinata untuk majlis sambutan hari jadi anak mereka. Jika anak perempuan, pinata yang dipilih ialah Elsa, manakala lelaki Spiderman,” katanya.
Diyana pelopor pinata tempatan
Pemilik Pinata Party KL, Pinata Solutions, Diyana Yang, 33, tidak menyangka perniagaan Pinata bermodalkan RM1,000 sejak tahun lalu, membantu menjana pendapatannya.
“Pada mulanya, saya membuat Pinata sekadar suka-suka untuk hari jadi anak sendiri sebelum menerima tempahan daripada rakan-rakan.
“Kemudian saya mengiklankan khidmat pembuatan pinata mengikut permintaan pelanggan di media sosial dan dari situlah bermulanya trend pinata di Malaysia,” katanya.
Kini Diyana menerima tempahan pinata pelbagai karakter dan reka bentuk di mana yang paling popular ialah Minion, My Little Pony, Olaf dan Superheroes.
“Pinata bersaiz biasa, saya menghasilkan Giant Surprise Egg buatan tangan yang pertama di Malaysia. Giant Surprise Egg menjadi kegilaan kanak-kanak di seluruh dunia menerusi pelbagai video permainan di YouTube,” katanya.
Bagi pinata golongan dewasa, reka bentuk ditawarkan kotak curut mewah, butiran berlian, gitar elektrik, logo Instagram dan sebagainya.
“Pelanggan akan menempah awal sebulan dan ia disiapkan bergantung kepada saiz dan reka bentuk yang diminta. Saya menjual serendah RM100,” katanya menyifatkan dirinya artis kertas mache.
Diyana berkata, pengalaman menerima tempahan besar syarikat korporat Eropah, IKEA dan restoran mewah menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus kreatif.
“Setakat ini, saya sudah mengeksport pinata ke Singapura dan menerima tempahan dari luar negara,” katanya
Tag:diyana, media, pinata, sinar harian